Tuesday, January 19, 2010

DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL


Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tokoh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.



Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.


Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.


Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dalam bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif.


Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu..Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.


Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang juga.

0 comments:

Post a Comment