Tuesday, January 19, 2010

Abdul Aziz Abdul Rahman ( J. M. AZIZ)


Abdul Aziz Abdul Rahman ( J. M. AZIZ)
( Bidang Keseniaan )

Nama sebenarnya Abdul Aziz bin Abdul Rahman dilahirkan pada 3 November 1934 di Kampung Hujung Tanjung, Tanjung Luang, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Anak kelima dalam keluarga enam orang adik beradik. Mendapat pendidikan awal sehingga darjah lima di Sekolah Melayu Seberang Takir sebelum meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu bagi mendalami penguasaannya dalam Bahasa Inggeris selama hampir 3 tahun dan berhenti disebabkan kesempitan kewangan oleh keluarganya.Selepas itu bekerja sebagai nelayan dan pada tahun 1951 beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan Polis Khas Tanah Melayu, setahun kemudian 1952 beliau bertukar ke jawatan Polis Hutan.
Pengalaman J.M. Aziz sepanjang penglibatan beliau sebagai anggota pasukan keselamatan mula dijadikan bahan untuk mengilhamkan karya-karya awalnya terutama dalam penghasilan rencana iaitu bidang penulisan awal yang beliau tangani. Selain itu, beliau juga penah berkhidmat sebagai guru. Tidak lama selepas itu beliau dilantik sebagai Setiausaha Inspektor dan ditugaskan menjaga keretapi di Perak.
J.M.Aziz berkahwin dengan Lijah binti Daud sewaktu beliau berkhidmat di daerah Kemasik, pada tahun 1952. Dikurniakan 7 orang anak dan 21 orang cucu.
Perjalanan hidupnya setelah kembali ke Seberang Takir menjadi semakin mencabar dan dijalani dengn penuh keperitan. Kembali menjadi nelayan disamping menarik beca dan sempat bekerja sebagai buruh pelabuhan di Kuala Terengganu. Pada tahun 1965 beliau disahkan mengidap penyakit kusta dan di rawat di Pusat Pemulihan Penyakit Kusta di Sunga Buloh, Selangor. Akibat daripada itu beliau tidak dapat melihat dan sebahagian daripada anggotanya cacat.
Beliau mula menulis pada tahun 1952 dalam bidang penulisan rencana dan juga cerpen tetapi sehingga kini genre puisi telah menjiwai dirinya kerana menurutnya, alam puisi adalah hati dan perasaan serta jiwanya sendiri.

Beliau pernah menggunakan beberapa nama samaran yang lain seperti Aziz Rahman, Indera, Aziz Abd. Rahman, Azizah A. Rahman, Ibnu Rahman dan juga Jiwa Merana.
Hasil daripada pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh J.M.Aziz terhadap dunia kesusasteraan inilah yang telah membawa beliau kepada kedudukan yang ada pada hari ini. Namanya diletakkan sebaris dengan nama-nama penyair tanahair yang lain. Kualiti penulisan atau penghasilan karya-karya kreatifnya serta sumbangan-sumbangannya dalam bidang kebudayaan telah mendapat anugerah-anugerah tertentu seperti Hadiah Sastera Malaysia oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Anugerah Penulis Malaysia oleh Persatuan Penulis Malaysia (PEN), Tokoh Penyair Terengganu oleh Ruang Teater Tamu (TETAMU) , Anugerah Khas Warga Tua Terengganu (1994), Anugerah Khas Kelab wartawan Terengganu Kawat-Esso (1998)dan Anugerah Budaya Negeri Terengganu Darul Iman oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau meninggal dunia dirumahnya di Kampung Seberang Takir , Kuala Terengganu , pada 15 Mac 2002 (Jumaat) bersamaan 1 Muharram 1423 kerana sakit tua , ketika berusia 68 tahun.

Sumber: Koleksi Terengganu PPAT.

Dato’ Haji Abas Mohamad

Dato’ Haji Abas Mohamad

Lahir di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut hampir seabad yang lalu. Lebih mesra dengan panggilan To' Guru Haji Abbas kerana kealiman yang diakui umum khususnya di bidang ilmu feqah yang merangkumi 4 mazhab: Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.

Mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut. Kemudian ketika berusia 14 tahun beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Mekah selama 8 tahun. Dari Mekah beliau ke India menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah Gujerat ketika berusia 22 tahun. Setelah pulang ke tanah air, 4 tahun kemudian beliau datang kembali ke Benua Kecil Hindi meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Dioband selama 1 tahun pada tahun 1938.

Berpegang kepada prinsip hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredhaan Allah. Ilmu wajib diperkembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya telah membuktikan prinsip itu dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya yang diberi nama Jamiah Diniah. Bersama beberapa orang Ulama' yang lain beliau membuka sebuah pondok lain di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq, selepas itu di Kuala Besut beliau mengasaskan Darul Adib Al-Khursani.'

Gerakan pendidikan dan dakwah tokoh ini tidak terhad di kawasan Besut sahaja,malah melewati sempadan Bukit Yong di Negeri Kelantan Darul Naim dengan membuka beberapa buah pondok mulai tahun 1945. Seterusnya dari Kelantan belaiu berhijrah ke Kuala Terengganu mengasaskan pondok Tok Jiring yang terkenal itu pada tahun 1953 sehingga berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah Agama sehingga kerajaan negeri mengambilalih pentadbirannya pada 1962 dan pada tahun 1976 Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf sebagai sebuah sekolah Menengah Agama yang termoden di Terengganu.

Keistimewaan Tuan Guru Haji Abbas juga terserlah melalui beberapa hasil karya ilmiah dalam bidang keagamaan.Atas segala bakti itu Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman telah mengisytiharkannya sebagai Tokoh Ulama' dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah tahun 1409. Pada 17 April 1989 DYMM Tuanku Al Sultan telah berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu Dato' Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Dato' kepadanya.

DATO’ HAJI RAZALI BIN ISMAIL


Meskipun sedetik berlalu, pelbagai peristiwa yang mewarnai kehidupan manusia boleh berlaku. Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) khasnya, kehilangan seorang pemimpin dan tokoh akademik berwibawa serta disegani ramai kerana pengalaman dan idea bernas yang sering dilontarkan bagi melahirkan cerdik pandai. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Timbalan Pengerusi Dato’ Razali bin Ismail, 59 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa beliau sakit malah kelihatan sihat dan cergas. Berita kematiannya memang mengejutkan.



Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Pelajaran pada 18 Mac 2008 merupakan Ahli Perlimen Kuala Terengganu meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November 2008 ketika sedang bermain badminton kira-kira pukul 6.30 petang. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.

Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Berang pada 25 Jun 1949 mendapat Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya tahun 1973 dan kemudiannya melanjutkan Ijazah Sarjana juga dalam bidang pendidikan di University of Birmingham tahun 1986 dan 1987.


Pengalaman sebagai seorang Pendidik, Pensyarah dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, di Kementerian Pelajaran banyak membantu beliau menjadi seorang pemimpin yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat. Beliau pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2004.


Selaku Timbalan Pengerusi PPAT yang dilantik pada 7 Julai 2004, beliau telah bersama-sama membangunkan PPAT dalam mencetuskan tradisi keintelektualan dan budaya ilmu. Nilai tambah dalam bidang pembacaan termasuk infrastruktur perpustakaan samada di pihak pengguna mahupun warga kerja perpustakaan adalah penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bestari dan kreafif.


Program terakhir Allahyarham bersama PPAT ialah merasmikan Program Jerayawara Bulan Bahasa Dan Sastera Negara 2008 Peringkat Wilayah Timur pada 26 Oktober 2008 bertempat di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu..Personalitinya yang sederhana dan cukup mesra membuatkan Allahyarham mudah diterima oleh semua golongan masyarakat. Allahyarham meninggalkan balu To’ Puan Nooraini Lob Yusoff 51, dan lima orang cahaya mata iaitu Muhamad Nurazli 30, Pengurus di Sime Darby Bhd, Asrul Shah 27 bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik, Khairul Amar 23, masih menuntut di Amerika Syarikat, Khairul Anwar menuntut di Universiti Selangor dan yang bongsu Khairul Arif 16, pelajarolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.


Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang yang soleh.

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang juga.